Tuesday, 12 May 2020

Melancong Ke Pulau Kukup



Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua....

             Nama diberi ialah Farah Nur Syanim Binti Fahmizam yang berumur 15 tahun. Ini merupakan kali pertama aku membuat blog mengenai percutianku pada tanggal 25.12.2019 dimana aku bersama keluargaku telah melancong ke Pulau Kukup. Bagi pengetahuan kalian, Pulau Kukup merupakan Pulau yang mempunyai sekurang-kurangnya 18 jenis pokok bakau tumbuh di pulau itu. Pulau itu mempunyai beberapa spesimen hidup yang besar,termasuk 20m rekod tertinggi pokok perepat
 yang bernama 'Sennoretia Alba' yang menenangkan hati bagi mata yang memandang. Tidak terkecuali dengan kicauan burung pada pagi hari yang ditemani bunyi derasan lautan. Lagi indah Pulau Kukup ini apabila para pelancong menjaga kebersihan setiap kali berkunjung ke pulau ini kerana Pulau Kukup merupakan pulau dengan hutan bakau yang dilindungi.




          Ceritaku bermula pada jam 9.00 pagi. Kami bergegas menyiapkan diri di rumah setelah bersarapan bersama yang dihidangi nasi goreng bertemankan minuman teh dengan harapan kekenyangan ini akan bertahan sehingga waktu tengahari nanti. Beberapa minit kemudian, ayahku mula menghidupkan enjin kereta lebih awal supaya kami tidak perlu menunggu enjin yang sedang memanas. Ibuku membekalkan sedikit makanan iaitu karipap kentang dengan tujuan dapat menjadi santapan ringkas ketika di dalam kereta nanti. Aku pula membekalkan dua jenis minuman iaitu air masak dan bakian minuman teh untuk sarapan pagi tadi ke dalam dua botol air yang berasingan.. Tepat jam 9.30 pagi, kami memulakan perjalanan ke Pulau Kukup dengan ucapan bismillah......

            Perjalananku mengambil masa sekitar 1 jam dari rumah. Sepanjang perjalanan kami bersembang mengenai hal-hal remeh. Bergelak ketawa, menjamu selera dengan bekalan dan minuman yang dibawa. Beberapa minit sebelum tiba di destinasi, aku bersama kedua-dua abangku dibuai mimpi indah dek mengantuk yang tidak tertahan. Ibuku menemani ayahku yang sedang memandu dengan cermatnya. Kadang-kala mereka membualkan sesuatu sewaktu kami dibuai mimpi. Alhamdulillah dengan limpah rahmat dari Tuhan, kami telah sampai di destinasi pada pukul 10.05 a.m. Aku dengan teruja memulakan langkah ke Pulau Kukup. Tidak ku sangka bahawa Pulau kukup ini mempunyai pekan kecil yang dipanggil nama Pekan Pulau Kukup.


             Lantas kami sekeluarga menuju ke pelabuhan kecil untuk kami menaiki bot pelancongan menuju ke destinasi sebenar. Sepanjang perjalanan pendek itu, arus deras yang membingitkan suasana agak menakutkan bunyinya memecahkan keheningan. Aku sekeluarga memilih untuk duduk di bahagian depan kerana bahagian depan merupakan tempat duduk yang sangat istimewa dan menjadi rebutan para pelancong. Mujur kami sampai awal ketika itu. Perasaan terujaku semakin melonjak apabila aku melihat kebersihan lautan itu. Tidak mempunyai sampah walau satu pun. Begitu tekunnya para penduduk pekan tersebut menjaga kebersihan. Alangkah baiknya jika sungai-sungai dan lautan di negara kita ini bersih seperti lautan disini. Pasti hidupan akuatik dapat hidup dengan tenang seperti manusia. Sudah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk menjaga kebersihan  air di negara kita dan mengambil berat tentang hidupan akuatik. Setelah 7 minit berada di atas lautan, sampai jua kami di destinasi yang sebenar.




            Inilah jeti kecil tempat perhentian bot untuk ke Pulau Kukup. Ayuh, kita mulakan pengembaraan!

              
        Indahnya suasana di dalam Pulau Kukup yang penuh dengan pepohon hijau. Bunyi derasan air juga tidak pernah hilang bunyinya. Seperti yang dijangka ketenangannya dapat dirasai dengan melihat pepohon hijau yang tinggi. Di atas arus laut terasakan bagai diri sedang berlantaikan air, berdindingkan pepohon hijau dan berbumbungkan langit biru yang menjadi taman permainan burung di soreh hari. Kami terus melangkah masuk ke 'syurga dunia' itu. Kesejukan semakin dirasai seperti tiada haba yang dihembus dari matahari. Mataku tidak jemu memandang pepohonan bakau itu. Berjalan di atas titian kayu menaikkan semangat cintai alam semulajadi. Aku begitu berharap bagi mereka yang telah melancong ke pulau yang indah ini telah mewujudkan rasa cinta pada makhluk Tuhan yang serba hijau ini dan mengurangkan aktiviti pembangunan kerana dengan itu, tumbuhan hijau dapat membina habitat mereka dengan lebih meluas apabila hilangnya aktiviti pembalakan. Bumi yang sekian lama sakit mungkin akan sihat tidak lama lagi. Itulah harapan pertama aku setelah menjejakkan langkah ke Pulau Kukup ini. 

        Aku dan keluargaku melangkah dengan lebih dalam. Alangkah terkejutnya kami apabila dapat mengetahui bahawa Pulau Kukup ini bukan sahaja melindungi spesies bakau, malah terdapat binaan yang kreatif yang diperbuat menggunakan kayu pokok. Antaranya ialah Covered Broadwalk (Time tunnel) yang merupakan binaan kayu secara melengkung. Terdapat 3 bahagian Covered Broadwalk ini dimana binaan yang utama binaan kayu melengkung yang dibina dari saiz kecil (hadapan) hingga besar (belakang) dan terdapat tempat duduk di hujung perjalanannya. Disitu kami dapat melihat pepohon bakau yang tertanam. Bahagian yang kedua ialah binaan kayu secara melengkung dalam saiz kecil (dihadapan dan dibelakang) manakala di bahagian tengah bersaiz besar. Bahagian yang terakhir pula dibina dalam saiz besar (dihadapan) menjadi semakin kecil (belakang). 





           Setelah penat mengambil gambar kenangan, kami meneruskan perjalanan. Semakin dalam kami menjejakkan kaki semakin sejuk diri dirasai. Sepanjang perjalanan, kami terserempak pula dengan seorang ibu yang bermain bersama anaknya. Alahai, comelnya mereka. Kebahagiaan mereka dapat aku rasai apabila melihat mereka sedang 'berkelah' di bahagian tepi titian kayu ini. Rupanya mereka juga hidup seperti manusia. Sebagai manusia yang berhati perut, yang mencintai hidupan lain, aku pasti mereka akan menjaga habitat hidupan liar ini. Walaupun mereka tidak mempunyai akal, tetapi mereka masih mempunyai perasaan seperti manusia. Cuma manusia yang begitu tingi keegoannya yang mengabaikan hidupan lain demi kepentingan diri sendiri. Sifat manusia yang hanya mahukan keselesaan telah memusnahkan kehidupan haiwan-haiwan liar. Begitulah perasaanku apabila melihat kerenah anak-beranak ini. Bagiku mereka terlalu comel untuk diabaikan. 




               Masa pantas berlalu. Kami sekeluarga mengorak langkah dengan tenangnya. Sehinggalah aku terlihat papan tanda yang tertulis 'Pokok Bakau Yang Tertinggi'. Disebelahnya terdapat anak panah yang menunjukkan pelancong perlu jalan terus ke hadapan untuk menemuinya. Kami sekeluarga menuju ke arah anak panah yang ditunjuk oleh papan tanda itu. Sekian lama mengorak langkah, akhirnya bertemu jua 'jodoh' yang dicari-cari. Siapa itu? Pokok bakau yang tertinggi itulah yang bernama Sennoretia Alba. Bukan sahaja pokoknya yang tinggi malah akarnya juga merupakan akar yang tertinggi di pulau itu. Tercengang aku dibuatnya. Tanpa melengahkan masa aku dan keluargaku pantas mengambil gambar. Aku dan abangku bergilir-gilir bergaya di bawah pokok tersebut manakala ibuku yang mengambil gambar kami. Ayahku pula hanya melihat kerenah kami. Takut katanya.




                Setelah puas bergaya di pokok tersebut, kami membuka langkah sehingga penghujungnya. Aku tidak berasa bosan langsung ketika melawat pokok-pokok bakau ini. Sepanjang perjalanan, kami ditemani dengan lagu-lagu merdu yang dimainkan oleh burung-burung yang beterbangan di langit biru. Tidak terasa kepanasan yang dilontarkan oleh matahari ke bumi. Aku berasa lalai dek melihat keindahan pulau bakau ini. Bilangan gambar di dalam telefonku semakin meningkat. Penuh simpanan gambarku dibuatnya. Kadang-kala terlihat juga burung yang berwarna-warni selain hitam. Malangnya, ketika aku mahu mengambil gambarnya, dia lantas terbang ke awangan seolah-olah terlihat akan perbuatanku yang ingin mencuri keunikannya. 

              Oh, ya. Aku mahu memberitahu tentang Langkah Apiculata. Ia merupakan jalan yang diperbuat original daripada batang pokok. Ia dibina dengan potongan batang pokok dan ditanam secara rawak di tanah. Oleh itu, pelancong harus berhati-hati ketika melangkah di atas batang tersebut. Ia dinamakan Langkah Apiculata kerana batang tersebut merupakan batang pokok Rhizophora Apiculata (bakau minyak). Siapa sangka batang pokok juga boleh dijadikan sebagai haluan manusia.



                Alhamdulillah..... Selesai juga perjalanan kami di Pulau Kukup ini. Ceritaku juga sampai disini sahaja. Cinta terhadap alam dihatiku semakin mendalam. Bagaikan alam ini merupakan buah hatiku. Flora dan fauna yang semakin pupus di Malaysia seharusnya menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk memelihara dan memulihara flora dan fauna sebaiknya. Alam tidak akan musnah jika bukan kita yang memusnahkannya. Manusia yang ingin mengejar kemajuan tidak sedar bahawa hidupan lain juga memerlukan kemajuan. Sebagai rakyat yang mencintai Bumi, kita perlulah mengurangkan aktiviti pembalakan secara terbuka dan mengurangkan institusi pembangunan agar bumi dapat hidup dengan alam semulajadi. Sepertimana manusia memerlukan tumbuhan untuk membekalkan oksigen kepada manusia, seperti itu jugalah tumbuhan perlukan habitat untuk membekalkan oksigen kepada penghuni bumi.












Terima kasih kerana sudi membaca......

Kepentingan Nasionalisme

  APA ITU NASIONALISME? Nasionalisme bermaksud perasaan cinta yang mendalam terhadap bangsa dan negara. Nasionalisme boleh diertikan sebagai...